Teringatkan Kampong Halaman
Sepanjang seminggu dua terkebelakang ini saya telah hadir memberi ceramah kepada penuntut-penuntut kolej kemahiran awam, persatuan ibu bapa dan guru di satu sekolah menengah dan sekumpulan penduduk di sebuah kampong di tempat saya bertugas. Boleh dikatakan setiap bulan saya akan hadir memberi ceramah di dalam daerah tempat saya bekerja. Kebanyakan ceramah berkisar tentang isu keselamatan setempat, masalah remaja dan peranan individu dalam soal keselamatan. Boleh saya katakan setiap kali saya diminta memberi ceramah, saya akan membuat sedikit sebanyak persiapan bagi memastikan ceramah saya tidak membosankan dan menjadi terlalu ‘routine’.
Menyambung cerita awal tadi, ada sedikit kelainan pada ketiga-tiga ceramah yang terakhir. Bila saya ingat kembali saya tidak tertinggal menyebut sedikit kisah awal hidup saya di kampong kepada ‘audience’ dalam ceramah tersebut. Bila saya fikir kembali, rupanya rasa teringatkan kampong telah mula membayangi saya.
Di utara semenanjung, ada sebuah mukim penempatan yang sangat istimewa bagi saya. Dengan berlatarbelakangkan Banjaran Bintang, bersempadan dengan Negeri kedah, penempatan penduduk di sini dianugerahkan dengan tanah yang subur untuk bersawah dan mengerjakan hasil pertanian yang lain. Barangkali tidak lengkap jika saya tidak sebutkan keindahan alam semulajadi di sini. Terdapat juga beberapa jeram untuk berkelah dan riadah yang sering menerima pengunjung dari dalam dan luar penempatan. Airnya yang jernih dan dingin sudah tentu akan mengingatkan pengunjung untuk kembali lagi dilain kali.
Zaman Kegelapan
Saya masih ingat ketika ditahun 70an, kawasan ini masih bergelap malamnya. Sebutir dua rumah mungkin bercahaya lampu gasoline yang dipasang sehingga lewat jam 10 malam. Tempat lain yang mungkin meriah dengan cahaya lampu ini adalah di surau atau di rumah yang bakal mengadakan kenduri besoknya. Selebihnya hanya kelam yang sedikit-sedikit kelihatan cahaya lampu minyak tanah dipasang. Aktiviti malam penduduk kampong ketika itu amat terbatas. Kebanyakan penduduk menghabiskan masa malam dengan berada di rumah.
Saya mungkin bernasib baik, masih berpeluang menonton wayang gambar yang di bawa khas oleh Jabatan Penerangan ke pelusuk kampong (ketika saya belum bersekolah). Saya tidak begitu ingat mesej yang di bawa kepada penduduk ketika itu, tapi tayangan wayang gambar di Pekan Sungai Bayur itu cukup mendapat sambutan. Selain menjadi sumber hiburan percuma ada juga penduduk kampong mengambil kesempatan berniaga makanan dan minuman ringan – barangkali tidak disenangi oleh semua orang terutama yang kurang berada...
Masih boleh saya ceritakan perihal susahnya kehidupan ketika itu, untuk menonton siaran televisyen agak payah. Di kejiranan saya di kampong, pada mulanya hanya ada sebuah rumah yang mampu memiliki peti televisyen dengan dijana tenaga letrik dari bateri bekal yang perlu dicaj setiap minggu. Jika dibualkan kembali, harus saya terjumpa banyak kerumitan dan perkara peraturan yang ditetapkan dalam hendak memakbulkan hasrat untuk menonton siaran TV ketika itu. Kecuali ketiadaan tenaga bateri bekal, lazimnya hasrat menonton tercapai jua sungguhpun sedikit payah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Ok la....blh jadi penulis la lepas pencen nanti...
ReplyDeletedapat org umah kerja berkaitan dengan tv -penyiaran-.... herm....
ReplyDelete