JENIS PERLANGGARAN PERTAMA KEMALANGAN JALANRAYA DALAM DAERAH PONTIAN
LOKASI BERLAKU DAN FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB
TUJUAN
Kertas kerja ini disediakan bertujuan memberi pendedahan terhadap jenis atau bentuk perlanggaran pertama yang berlaku dalam kemalangan jalanraya di dalam daerah Pontian. Di dalam kertas kerja ini juga faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya bentuk perlanggaran ini digariskan bagi membolehkan pengguna jalanraya mengambil langkahan bagi meminimumkan risiko kejadian.
OBJEKTIF
• Memberi maklumat kepada pengguna jalanraya terhadap bentuk-bentuk perlanggaran pertama yang wujud setiap kali berlaku kemalangan jalanraya dalam daerah.
• Memberi pemahaman yang lebih jelas terhadap bagaimana satu-satu bentuk kejadian perlanggaran itu boleh berlaku.
• Mendedahkan faktor-faktor yang menjadi penyebab kepada berlakunya bentuk-bentuk perlanggaran yang dalam daerah.
• Membolehkan setiap pengguna jalanraya mengambil langkah-langkah yang perlu serta penekanan terhadap kaedah pemanduan yang lebih cermat apabila berada dalam kawasan, masa atau keadaan tertentu.
• Mendedahkan sedikit sebanyak hubungan antara sikap pengguna jalanraya, pemanduan berhemah dan kejadian kemalangan jalanraya.
PENDAHULUAN
Boleh dikatakan tiada sesiapapun yang dalam keadaan waras mahu dirinya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Namun begitu masih terdapat pengguna jalanraya yang tidak begitu mengambil endah terhadap peraturan lalu lintas, kaedah pemanduan berhemah atau sikap bersopan dan bertimbang rasa di jalan raya. Sungguhpun terdapat berbagai-bagai kempen melalui pelbagai saluran dibuat bagi menimbulkan kesedaran ini namun kadar kemalangan jalan raya di negara ini masih berada di tahap yang membimbangkan.
Jika dilihat, pada tahun 1981, jumlah kenderaan di Malaysia adalah sebanyak 2,901,182 buah yang berdaftar. Selepas 25 tahun jumlah ini meningkat sebanyak 417.9 % kepada 15,026,660 kenderaan pada tahun 2005, dengan jumlah penduduk masing-masing 14,128,354 pada tahun 1981 dan 26,130,000 pada tahun 2005.
Statistik kemalangan jalan raya pada tahun1981 adalah sebanyak 107552 kenderaan terlibat dengan jumlah kerugian sebanyak RM36, 752, 697.00, manakala pada tahun 2005 sejumlah 583,081 kenderaan terlibat. Jumlah kerugian yang dianggarkan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1995 adalah sebanyak RM181, 436,070.00.
Statistik kemalangan jalan raya pada tahun 1991 menunjukkan 96,513 kes, manakala pada tahun 2005 sebanyak 328,268 kes. Daripada jumlah tersebut tahun 1991 merekodkan sebanyak 4,331 kematian dengan 25,776 jumlah yang cedera. Pada tahun 2005 pula sebanyak 6,200 kematian dicatatkan dengan 35, 323 pengguna jalan raya mengalami kecederaan.
Sungguhpun data-data ini memberi satu gambaran tentang keadaan bahaya yang wujud di jalan raya namun ianya tidak begitu menimbulkan kesedaran yang cukup mendalam bagi pengguna-pengguna jalanraya.
Adalah difikirkan pendekatan memberi kefahaman terhadap bagaimana kemalangan berlaku dengan menekankan aspek jenis perlanggaran dan tempat serta faktor-faktor penyebab berlakunya perlanggaran tersebut diharpkan mampu memberi peringatan kepada pengguna-pengguna jalanraya. Barang diingat bahawa tidak semua pengguna jalanraya yang memandu secara melulu akan akan menjadi mangsa yang menanggung penderitaan akibat kemalangan.
PERLANGGARAN DEPAN DENGAN DEPAN (HEAD ON COLLISSION)
Perlanggaran jenis ini berlaku apabila sebuah kenderaan bertembung secara bersemuka atau berhadapan dengan kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Perlanggaran jenis ini biasanya mengakibat kematian atau kecederaan parah kepada pemandu dan penumpang kenderaan bergantung kepada jenis kenderaan dan kelajuan kedua-dua kenderaan.
Pada kebiasaannya, kenderaan yang lebih ringan atau bergerak pada kelajuan lebih rendah akan terdorong atau diseret oleh kenderaan yang lebih berat atau bergerak pada kelajuan lebih tinggi akibat dari momentum asal kenderaan tersebut.
Pada keadaan tertentu jika kedua-dua kenderaan terhenti akibat perlanggaran, terdapat kemungkinan mangsa akan tersepit atau tercampak dan ada kemungkinan kenderaan terbabit boleh terbakar.
LOKASI
Kebanyakan bentuk perlanggaran ini berlaku di lokasi-lokasi seperti berikut:-
• Jalan lurus.
• Selekoh.
• Garisan Berkembar.
FAKTOR-FAKTOR
• Memandu secara melulu / cuai.
• Memotong secara bahaya.
• Tidak sabar semasa mengekori kenderaan lain dan tergesa-gesa.
• kurang pencahayaan (waktu malam).
• Struktur jalan lain seperti selekoh, kerosakan dan lain-lain.
• Hilang kawalan pemanduan.
• Struktur kenderaan.
• Kurang kemahiran.
• Tidak mematuhi isyarat lalu lintas.
PELANGGARAN RUSUK TEPAT (T BONE COLLISSION)
Bentuk perlanggaran rusuk tepat berlaku apabila bahagian hadapan sesuatu kenderaan bertembung dengan bahagian tepi sesebuah kenderaan lain secara tepat. (Arah haluan kenderaan yang melanggar adalah bersudut tepat dengan arah haluan kenderaan yang dilanggar).
Kemalangan jenis ini biasanya menyebabkan kecederaan parah ataukematian terutama jika ianya melibatkan kenderaan ringan dengan kenderaan yang lebih berat. Kecederaan pada kebiasaannya lebih cenderung dialami oleh penumpang di sebelah yang dirempuh kenderaan lain. Jika impak perlanggaran cukup kuat, penumpang atau penunggang kenderaan yang melanggar boleh tercampak keluar dari kenderaan.
LOKASI
Bentuk perlanggaran rusuk tepat ini paling banyak berlaku dalam kawasan berhampiran simpang. Pelanggaran jenis ini berlaku semasa kenderaan dari laluan utama hendak memasuki memasuki simpang atau kenderaan yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama.
• Jalan Parit Masjid
• Jalan Kawasan Perumahan Pekan Nenas
FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB
• Pengguna jalanraya gagal mematuhi sepenuhnya tanda isyarat jalan raya seperti gagal berhenti sepenuhnya sebelum garisan putih di kepala simpang.
• Pengguna jalanraya yang hendak masuk ke jalan utama atau hendak membelok ke simpang tidak memberi keutamaan kpd kenderaan di Jalan utama.
• Pengguna jalanraya tidak memastikan keadaan selamat sebelum memasuki satu-satu persimpangan.
• Sikap pengguna jalanraya yang suka mengambil mudah dan memandu secara tergesa-gesa.
• Halangan penglihatan disebabkan objek-objek tertentu ditepi jalan spt semak, kenderaan ditepi jalan.
• Kurangnya pencahayaan dilokasi tertentu
• Pengguna jalan raya gagal mengenalpasti jalan utama. Berikut adalah panduan dalam mengenalpasti jalan utama.
o Jalan yang diwartakan sebagai jalan persekutuan
o Jalan yang diwartakan sebagai jalan negeri
o Jalan - jalan bandaran
o Jalan yang menghubungkan sesuatu lokasi dengan jalan persekutuan/ jalan negeri/bandaran.
o Jalan yang mempunyai tanda-tanda jalan spt garisan pembahagi jalan dan sebagainya.
LANGGAR BELAKANG (REAR COLLISSION)
Kejadian langgar belakang berlaku apabila sesebuah kenderaan dari arah belakang bertembung dengan bahagian belakang sebuah kenderaan yang bergerak atau berhenti dari perjalanan pada arah yang sama dihadapannya.
Pada kebiasaannya impak perlanggaran jenis ini adalah bergantung kepada jenis kenderaan yang terlibat dan keadaan kelajuan kenderaan yang melanggar.
Jika kenderaan yang melanggar bergerak pada kelajuan yang tinggi dan menghasilkan impak yang cukup kuat, penumpang atau pemandu boleh tercampak atau tersepit pada kenderaan bergantung kepada saiz kenderaan di hadapan.
LOKASI
Kebanyakan bentuk perlanggaran ini berlaku di lokasi-lokasi seperti berikut:-
• Berhampiran lampu isyarat – KM 40.5 Jalan Johor Bharu / Batu Pahat
• Berhampiran persimpangan-persimpangan – KM 41 Jalan Johor Bharu / Batu Pahat.
• Di lokasi berlakunya kesesakan oleh sebab kemalangan, atau kesesakan biasa – Kawasan Pekan Nenas (Bandar).
• Di lokasi jalan sebaik sahaja selepas selekoh – KM 41.5 Jalan Johor Bharu / Batu Pahat.
FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB
• Pengguna Jalanraya memandu atau menunggang dengan cara mengekori terlalu rapat (tail gating).
• Pengguna jalan raya gagal menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pemanduan.
• Pengguna jalan raya memandu atau menunggang secara tergesa-gesa atau melulu.
• Kurang kemahiran pemanduan atau teknik menunggang oleh pengguna jalan raya.
• Memandu atau menunggang dengan terlalu laju hingga gagal mengawal kenderaan dengan sempurna.
• Struktur kenderaan dalam keadaan kurang sempurna contoh: tayar botak, brek tidak berfungsi, lampu-lampu pada kenderaan tidak berfungsi.
• Dalam keadaan kurang pencahayaan terutama malam hari.
• Dalam keadaan cuaca hujan dan jalan basah / licin.
• Struktur jalan yang tidak rata, berminyak, berpasir dan sebagainya.
LANGGAR SEBELAH TEPI (SIDE SWIPED)
Kejadian perlanggaran ini berlaku apabila sebuah kenderaan bertembung dengan bahagian tepi sebuah kenderaan lain dalam keadaan bukan secara tepat.
Jenis perlanggaran ini kurang mengakibatkan kematian atau kecederaan parah kecuali bagi kenderaan dengan 2 roda (motosikal) namun begitu ada kemungkinan berlakunya kemalangan kedua yang boleh menyebabkan impak yang lebih besar.
LOKASI
• Kawasan Kampung
• Jalan Sempit - Parit Kudus
- Parit Patah
- Jalan Kampung Medan Sari
FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB
• Satu kenderaan membelok atau keluar simpang.
• Kenderaan mengubah haluan tanpa memberi isyarat.
PERLANGGARAN SECARA BERGESEL (GRAZED)
Perlanggaran secara bergesel berlaku apabila sesebuah kenderaan bertembung secara sipi dan terus bergerak. Ekoran dari perlanggaran ini, pada kebiasaannya diikuti dengan kejadian kenderaan terlibat terbabas atau merempuh kenderaan atau objek lain.
Akibat dari perlanggaran jenis ini, biasanya kenderaan terbabit akan terbabas ke luar dari jalan atau diikuti dengan kejadian kemalangan kedua. Kejadian perlanggaran secara bergesel ini jarang melibatkan kematian atau kecederaan parah kecuali bagi kenderaan dengan 2 roda atau berlakunya kemalangan kedua.
LOKASI
Jalan Kampung - Kampung Parit Patah
- Jalan Parit Basilam
FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB
Satu kenderaan mengubah laluan tanpa menyedari ada kenderaan di sebelah.
Keadaan jalan sempit
Keadaab bahu jalan yang terlalu tinggi
TERBABAS (SKIDDED)
Kejadian terbabas berlaku apabila sesebuah kenderaan yang dipandu atau ditunggang hilang kawalan lalu keluar dari laluan atau bertembung dengan objek lain di di luar laluan jalan.
Kejadian terbabas ini juga turut menjadi penyumbang kepada jumlah kecederaan parah atau kematian yang tinggi. Kes seumpama ini berhadapan risiko di mana mangsa yang terlibat lewat mendapat bantuan kecemasan disebabkan maklumat kejadian lewat disalurkan.
LOKASI
Jalan lurus – Jalan Parit Panjang
- Jalan Sawah
Jalan Selekoh - Kayu Ara Pasong
- KM 47 Jalan Johor Bharu / Batu Pahat
• Di kawasan selekoh atau selepas selekoh – KM 47 Johor Bharu / Batu Pahat
• Di kawasan yang kurang pencahayaan – Jalan benut Simpang Renggam
• Di kawasan jalan yang sunyi atau kurang kenderaan – Jalan Gunung Pulai
• Di jalan-jalan kampung atau jauh dari kawasan Bandar – Jalan Gunung Pulai & Jalam Sawah.
• Di kawasan pembaikan jalan atau pembinaan tepi jalan
FAKTOR-FAKTOR
• Kenderaan dipandu dalam keadaan laju.
• Tidak perasan simpang / selekoh di hadapan atau sebelah.
• Mengelak objek atau binatang.
• Keadaan teknikal kenderaan – tayarkurang bunga.
• Pemandu tidak mahir dengan keadaan jalan (orang luar).
LANGGAR PEJALAN KAKI, PENUNGGANG BASIKAL, BINATANG DAN LAIN-LAIN OBJEK. ( PEDESTRIAN, CYCLIST, STRAY ANIMAL AND OTHER OBJECT )
Pada kebiasaannya kejadian langgar pejalan kaki atau penunggang basikal berlaku semasa pengguna jalanraya dalam kategori ini sedang menyeberang jalan, lalu dilanggar kenderaan yang melalui jalan tersebut. Kejadian langgar binatang seperti anjing dan binatang peliharaan juga kebiasaannya berlaku semasa binatang ini tidak dikawal atau haiwan liar yang melalui kawasan tersebut.
Kejadian seumpama ini akan menyebabkan kematian atau kecederaan parah kepada pejalan kaki atau penunggang basikal. Jika ianya melibatkan haiwan peliharaan atau haiwan liar, tahap kecederaan pengguna jalanraya adalah bergantung kepada jenis kenderaan yang dinaiki dan kelajuan kenderaan terbabit.
LOKASI
• Pekan Nenas – KM 41-43
• KM 56 Johor Bharu / Batu Pahat
• Pekan Ayer Baloi.
• KM 53 Johor Bharu / Batu Pahat.
• KM 70 Jalan Bharu / Batu Pahat.
• Parit Basilam
• Jalan Parit Semerah.
FAKTOR-FAKTOR
• Kecuaian pejalan kaki.
• Tiada lintasan pejalan kaki.
• Menunggang bersaing/ berkawan
• Menunggang lawan arus.
• Struktur kenderaan tidak lengkap.
KESALAHAN-KESALAHAN LALU LINTAS YANG LAIN YANG TURUT MENYUMBANG KEPADA KEMALANGAN JALANRAYA : -
• Meletak kenderaan dalam jarak kurang 30 kaki dari kepala simpang
• Lampu isyarat membelok tidak berfungsi atau tidak memberi isyarat membelok
• Tidak berhenti di garisan putih di kepala simpang
• Berhenti di petak kuning
• Tidak mematuhi lampu isyarat
• Memandu melebihi garisan pembahagi jalan sebelum membelok ke kanan atau tidak berada di lorong yang betul sebelum membelok
• Tiada cermin sisi
• Lampu belakang/lampu besar hadapan /lampu brek tidak berfungsi
• Memotong disebelah kiri
• Memotong di dua garisan berkembar
• Memandu perlahan di sebelah kiri atau kanan
• Memandu melebihi had laju
• Memandu dalam keadaan di bawah pengaruh dadah/ alkohol
• Brek gagal berfungsi baik
• Mengekori kenderaan lain dalam jarak terlalu dekat
• Berlumba atau menguji kelajuan kenderaan
• Melintas di kawasan bukan lintasan pejalan kaki
• Memandu menyongsang arus
KESIMPULAN
Secara amnya bentuk-bentuk perlanggaran pertama yang berlaku ini akan menjadi asas dalam mengenalpasti punca berlakunya kemalangan. Ianya juga menjadi salah satu aspek penting dalam siasatan polis bagi menentukan tahap kecuaian pihak-pihak yang terlibat dalam satu-satu kemalangan. Memahami bentuk-bentuk perlanggaran ini juga akan memberi gambaran kepada risiko kecederaan yang mungkin ditanggung oleh pihak-pihak terlibat dalam kemalangan bergantung kepada jenis perlanggaran dan kedudukan pemandu atau penumpang terbabit.
Dengan memahami bagaimana berlakunya bentuk-bentuk perlanggaran ini, membolehkan pengguna jalanraya membuat persediaan atau member lebih tumpuan terhadap pemanduan secara berhati-hati di dalam keadaan-keadaan tertentu. Adalah menjadi harapan kita juga agar dengan pendedahan ini, sikap pengguna jalanraya akan dapat dipupuk ke arah yang lebih positif dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya di Daerah Pontian.
SENARAI LAMPIRAN
1. STASTISTIK KEMALANGAN JALAN RAYA MENGIKUT JENIS PERLANGGARAN BAGI TAHUN 2008 DAN 2009
2. STATISTIK KESALAHAN PENGGUNA DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA TAHUN 2008 DAN 2009.
3. KANUN LEBUH RAYA (LN 165/1959)
RUJUKAN
1. AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987
2. KAEDAH-KAEDAH PENGANGKUTAN JALAN (Kompilasi 47 Kaedah-Kaedah)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment